Kebelakangan ini, Malaysia dihimpit dengan pelbagai persoalan pembuatan dasar dalam dan luar Negara terutama dalam hal ehwal ekonomi semasa. Isu yang dimaksudkan adalah berkenaan dengan perundingan persefahaman Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik atau lebih dikenali dengan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). Perjanjian ini telah melibatkan 12 buah negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun.
Perjalanan perundingan TPPA ini tampaknya tidak melalui satu sesi konsultasi yang menyeluruh yang mana ketelusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam berkongsi maklumat dan teks penuh mengenai perjanjian secara multilateral ini masih lagi dipersoalkan. Rentetan daripada keengganan pihak MITI dalam mendedahkan maklumat yang penting kepada masyarakat awam, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), selaku Ketua Badan Bertindak Bantah Pelaksanaan TPPA Malaysia telah menggesa agar pihak kerajaan perlu lebih berhati-hati dengan sebarang perjanjian yang melibatkan Negara asing terutama Negara maju agar kepentingan Negara Malaysia tidak tergadai hanya dengan melalui satu perjanjian. Oleh yang demikian, pandangan rakyat sebagai stakeholder harus diambilkira dalam menggalakkan penyertaan masyarakat awam khususnya dalam proses pembuatan dasar Negara.
“Pemimpin yang hebat tidak akan mampu mengekalkan kehebatannya seandainya tiada proses perbincangan (syura) bersama-sama dengan pengikutnya”, Tuan Haji Ahmad Azam, Naib Pesiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH). ALLAH telah membimbing kita dengan petunjukNya melalui surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud :
“Maka disebabkan rahmat dari ALLAH-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonlah keampunan bagi mereka dan bemusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang bertawakal kepadaNya”.
Manakala dalil di dalam hadith Nabi adalah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, “Bantu-membantulah kamu di dalam urusan-urusan kamu dengan musyawarah“. Konsep syuramemperlihatkan keadilan yang cuba ditonjolkan oleh Islam ke arah melahirkan kerajaan dan kepimpinan yang tidak pilih kasih dan jauh dari penindasan juga kezaliman.
Jelas sekali, dalam proses pembuatan keputusan tidak kira sama ada di peringkat lokal atau global, prinsipsyura atau konsultasi mestilah dititikberatkan oleh setiap yang bergelar pemimpin dan pengikut kerana ia melibatkan isu kepentingan awam dan kemaslahatan serta kebajikan rakyat jelata dalam survival sosio-ekonomi Negara. Dalam isu terkini, seharusnya pihak MITI lebih terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan pelbagai pihak sebelum menandatangani sebarang perjanjian yang umum mengetahui ianya bakal memberi impak secara langsung terhadap lansdkap politik, ekonomi dan sosial Negara Malaysia.
Beberapa siri perundingan TPPA yang dihadiri oleh MITI telah selesai membincangkan 14 bab daripada 29 bab dalam TPPA antaranya termasuklah bab telekomunikasi, adat, pembangunan, prasarana perniagaan dan lain-lain. Namun, di manakah ruang yang MITI berikan kepada rakyat sebagai stakeholder utama dalam menyalurkan pandangan dan idea dalam bab-bab yang telah dirunding bersama negara-negara yang terlibat tersebut? Memandangkan proses ini tidak berlaku, justeru kami mengharapkan ketelusan daripada pihak MITI berhubung dengan penglibatan Malaysia dalam perjanjian ini.
Pelbagai persoalan yang tidak mampu dirungkaikan oleh pihak MITI secara jelas dan komprehensif. Hal ini temasuklah tentang persoalan Negara manakah akan merasai manfaat terbanyak dalam perjanjian ini? Berapakah threshold atau nilai peruntukan yang dipersetujui oleh Malaysia dalam perjanjian ini? Adakah perjanjian seumpama ini akan meningkatkan kos perubatan hasil daripada kesan langsung pelanjutan hak cipta atau paten ubat-ubatan? Adakah pembukaan kontrak kerajaan kepada syarikat asing akan mengehadkan peluang mendapatkan tender oleh syarikat tempatan? Apakah jaminan terhadap peluang pekerjaan bagi graduan-graduan lepasan universiti tempatan? Adakah perjanjian ini akan mengehadkan akses terhadap ilmu pengetahuan apabila undang-undang hak cipta menjadi lebih ketat? Apakah kesan terhadap polisi-polisi alam sekitar yang telah digubal oleh kerajaan Malaysia? Apakah nasib para petani Malaysia sekiranya tarif hasil ladang Amerika dikurangkan? Akhir sekali, adakah tindakan undang-undang akan diambil ke atas Malaysia berikutan tidak mematuhi mana-mana bab atau klausa dalam perjanjian ini? Persoalan-persoalan ini mestilah dijawab oleh pihak MITI secara telus dan berhemah demi menjawab kerisauan pemain-pemain industri yang akan menerima impak secara langsung atas setiap perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia.
Sebagai echelon atau pelapis kepimpinan Negara pada masa hadapan adalah menjadi tanggungjawab mahasiswa bagi menyikapi isu ini dengan ilmu dan kemahiran yang ditimba di menara gading sesuai dengan fungsi sosial mahasiswa sebagai juru bicara umat. Isu yang dibangkitkan bukanlah isu yang enteng. Ianya wajar ditangani dengan kemahiran bacaan ekonomi semasa dan pengalaman daripada golongan-golongan yang berkelayakan untuk berbicara mengenainya termasuklah golongan cendekiawan dan mahasiswa. Menjadi kerisauan kita terutama warganegara kepada sebuah Negara yang berdaulat tentang agenda kolonialisasi moden yang sedang berjalan secara halus terutama dalam bidang ekonomi. Kita tidak mahu sejarah silam berulang kembali sebagaimana yang berlaku dalam Perjanjian Pangkor 1874 yang menjadi entry point atau laluan yang sah terhadap penjajah British untuk menjalankan misi imperialisme di tanah air kita. “Those who forget the past are condemned to repeat it”. Begitulah yang diungkapkan oleh George Santayana, ahli falsafah Barat yang memaknai isu yang melatari sisi-sisi kehidupan masa kini.
Oleh yang demikian, PKPIM menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswi di seluruh Negara agar mengertakna (mengerti dan cakna) akan isu yang dibincangkan dan seterusnya berganding bahu dalam mencorakkan prasarana ekonomi Negara yang berpaksikan keadilan sosial dan menyantuni semua golongan dan lapisan masyarakat di Malaysia. PKPIM menyambut baik usaha pihak MITI dalam menganjurkan Open Day atau Rumah Terbuka pada 1 Ogos 2013 ini demi menjelaskan kepada masyarakat umum tentang agenda yang ingin dilaksanakan. Namun begitu, ketelusan dan kejujuran oleh pihak MITI amatlah diharapkan dalam menjunjung amanah rakyat untuk mengemudi pemerintahan Negara yang tercinta ini. Hal ini demi mengekalkan keharmonian dan seterusnya mencapai aspirasi masyarakat negara Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur (negara yang subur, makmur, adil dan aman). InsyaALLAH. Hidup Biar Berjasa. Suara Mahasiswa!
No comments:
Post a Comment